PENANG TODAY

Sunday 30 December 2012

Tiada Hala Tuju : PKR Sangkal Tuduhan Pemimpin DAP.

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor yang menganggap parti tersebut mengamalkan ideologi tidak sihat dan tiada halatuju yang tepat.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata, PKR yang telah ditubuhkan bermula era kebangkitan reformasi 13 tahun yang lalu telah memberi sumbangan besar terhadap perubahan lanskap Negara.

“Semenjak kewujudan parti PKR, saya melihat banyak perkembangan baru di dalam politik Malaysia terutama sekali dari segi politik pembangkang di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional.

“Ini bagi saya merupakan fakta membuktikan bahawa PKR telah berjaya membawa satu sinergi, tenaga baru, di dalam politik di tanahair.

"Dan mengenai pandangan bahawa PKR ini ideologi yang tidak sihat, saya berpandangan bahawa ia merupakan pandangan peribadi beliau yang bagi saya tidak mewakili kebanyakan penyokong PKR mahupun rakyat kebanyakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.

Sambil menganggap tuduhan tersebut bersifat peribadi, Yusmadi menegur Pemimpin Veteran DAP itu agar lebih fokus dalam memberi sumbangan demi memperkukuhkan lagi kerjasama Pakatan Rakyat.

“Selaku orang politik berpengalaman, saya rasa beliau sepatutnya lebih arif keadaan sebenar di lapangan yang mana pada pandangan saya sekarang ialah politik baru..bukan politik lama,” ujarnya.


Zulkifli dalam kenyataannya kelmarin mendakwa PKR pada masa kini kian hilang tumpuan malah mengamalkan ideologi yang tidak sihat.

Katanya, parti tersebut dilihat semakin hilang hala tuju yang tepat dan hanya mempertahankan individu bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Sumber : http://klpos.com/politik/33792-tiada-hala-tuju-pkr-sangkal-tuduhan-pemimpin-dap

The best deals in Penang

 
Minima 4 coloum Blogger Template by Beloon-Online.
Simplicity Edited by Ipiet's Template