PENANG TODAY

Monday 14 January 2013

Dua Ahli DAP Buat Lapor Pada ROS Dakwa Berlaku Penipuan Pemilihan CEC

PUTRAJAYA: Dua ahli seumur hidup DAP pada Isnin membuat laporan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung apa yang mereka dakwa sebagai manipulasi keputusan pemilihan parti.

Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi David Dass Aseerpatham dan setiausaha cawangan Mahendran Krishnan, membuat laporan itu di pejabat ROS di sini pada tengah hari.

"Saya harap ROS akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat perkara itu dan membantu anggota parti menyelesaikan pertikaian itu dan menghalang manipulasi keputusan pemilihan DAP baru-baru ini di bawah Akta Pertubuhan," kata David Dass dalam laporannya, yang ditunjukkan kepada pemberita di luar pejabt ROS.

Beliau berkata ramai pemimpin dan anggota cawangan begitu kecewa berhubung dakwaan manipulasi keputusan pemilihan parti dan laporan itu dibuat hari ini selepas mendapat tahu daripada laporan media bahawa setiausaha agung parti Lim Guan Eng menolak daripada mengadakan pemilihan semula.

Ramai pemimpin cawangan menuntut Jawatakuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan pemilihan semula tetapi permintaan mereka langsung tidak dihiraukan, katanya.

Selepas keputusan pemilihan CEC diumumkan pada 15 Disember, dengan tiada seorangpun daripada lapan calon orang Melayu dipilih, DAP mengumumkan pada 3 Januari, 19 hari selepas itu, berlaku kesilapan teknikal dalam penjadualan undi dan mengisytiharkan calon Zairil Khir Johari Abdullah sebagai anggota CEC yang dipilih dengan sewajarnya.

"Ini merupakan satu kes jelas manipulasi pemilihan, dan ia juga bertentangan dengan proses demokrasi dan slogan parti mengenai kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT)," kata David Dass.

David Dass berkata beliau menjadi anggota DAP selama tujuh tahun dan Mahendran, selama 18 tahun, dan mereka merupakan perwakilan pada konvensyen DAP dan telah mengundi dalam pemilihan 20 anggota CEC.

Mahendran berkata beliau membuat laporan dengan ROS dalam semangat CAT bagi menyelesaikan pertikaian memandangkan dakwaan manipulasi keputusan pemilihan menyebabkan ketidakadilan dan menjejaskan imej parti. -BERNAMA

The best deals in Penang

 
Minima 4 coloum Blogger Template by Beloon-Online.
Simplicity Edited by Ipiet's Template